Sukarelawan kutip sampah 2km pakai baju raya

Sukarelawan mengutip dan mengumpul sampah yang dibuang di kawasan pesisiran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Sukarelawan mengutip dan mengumpul sampah yang dibuang di kawasan pesisiran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sudah menjadi kelaziman cuti hujung minggu selepas perayaan Aidilfitri dipenuhi dengan undangan rumah terbuka, namun berbeza bagi sekumpulan sukarelawan yang mengisi hujung minggu mereka dengan mengutip sampah sejauh dua kilometer (km) sambil memakai baju raya.

Wakil Trash Hero Malaysia, Rosnani Nazri berkata, selain membersihkan persekitaran, program yang dihadiri pelbagai bangsa itu dapat mencetus semangat muhibah kerana kebanyakan mereka tidak kekok berbaju kurung, berkebaya, berbaju Melayu malah ada yang lengkap bersampin serta memakai tengkolok.

Menurutnya, kesemua 40 peserta yang menyertai aktiviti itu merupakan sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Trash Hero dan Green Ranger Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Program kali ini sedikit berbeza kerana julung kali diadakan dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya pembuangan sampah dan plastik di merata-rata tempat selain kepentingan menjaga alam sekitar terutama di pantai yang menjadi tumpuan pelancong," katanya ketika ditemui di Pantai Batu Buruk di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Trash Hero Batu Buruk, Yusran Abdillah berkata, sebanyak 185 kilogram (kg) sampah berjaya dikumpulkan sepanjang program itu berlangsung selama dua jam bermula jam 4 petang.

Sukarelawan mengutip sampah dengan memakai baju kurung dan kebaya ketika Program Pembersihan Pantai di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Sukarelawan mengutip sampah dengan memakai baju kurung dan kebaya ketika Program Pembersihan Pantai di Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu pada Jumaat.

Katanya, kebanyakan sampah dikutip adalah sampah ringan seperti plastik bungkusan makanan dan minuman, selain itu terdapat juga sampah lain seperti botol, tayar, polisterin, lampin bayi dan lain-lain.

"Bayangkan kebanyakan sampah-sampah ringan ini kita boleh kumpulkan sehingga beratnya mencecah 200kg. Jika ia dibiarkan dan tiada sebarang tindakan diambil, apa akan jadi terhadap alam sekitar kita.

"Sudah tentu ia terjejas teruk dengan pencemaran oleh sampah sarap ini. Hidupan di darat dan di laut akan terancam malah kesihatan manusia juga turut terjejas disebabkan memakan molekul sampah yang tidak hancur ini, " katanya.

Menurut Yusran, aktiviti mengutip sampah di kawasan tumpuan awam itu dilakukan setiap minggu.

"Kita melakukan program mengutip sampah di pantai ini pada setiap minggu, malah kita turut memasang empat papan tanda larangan membuang sampah," katanya.

Sementara itu, peserta program, Ramachandran Pappen OOdian, 51, berkata, penganjuran program itu merupakan inisiatif bagi melahirkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan khususnya di kawasan pantai.

"Pantai yang bersih dari sampah sarap akan menjadi tarikan pengunjung dan juga memastikan hidupan marin seperti penyu selamat.

"Kesedaran ini perlu dipupuk bukan sahaja dalam kalangan peserta, malah dalam diri setiap individu supaya kita dapat bersama-sama menjaga alam semula jadi daripada terus tercemar disebabkan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata-rata tempat," katanya.