Kes HFMD meningkat, 28,975 kes direkod seluruh negara: Khairy

Kes HFMD terus mencatatkan peningkatan dengan 28,957 kes di seluruh negara pada Minggu Epid 19 sejak Januari hingga Jumaat. (Gambar kecil: Khairy Jamaluddin Abu Bakar)
Kes HFMD terus mencatatkan peningkatan dengan 28,957 kes di seluruh negara pada Minggu Epid 19 sejak Januari hingga Jumaat. (Gambar kecil: Khairy Jamaluddin Abu Bakar)
A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) terus mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 28,957 kes pada Minggu Epid 19 sejak Januari hingga Jumaat di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, secara perbandingan hanya 4,239 kes tersebut direkodkan tahun lepas.

"Jadi peningkatan ini agak mendadak dan sememangnya dijangka memandangkan tahun lepas banyak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita tidak boleh keluar. Sekarang ini kita sudah dibenarkan keluar, lebih-lebih lagi sektor pendidikan dan sebagainya kembali dibuka, maka kes HFMD ini catat peningkatan.

"Justeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terutamanya kepada ibu bapa untuk menggunakan ciri yang ada pada MySejahtera untuk mengetahui jumlah kes di kawasan berhampiran masing-masing. Sekiranya tinggi maka kita perlu berhati-hatilah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Rembau di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, disini pada Sabtu.

Khairy (empat dari kiri) bersama isteri, Nori Abdullah (lima dari kiri) berkesempatan bergambar dengan tetamu yang hadir pada majlis tersebut.
Khairy (empat dari kiri) bersama isteri, Nori Abdullah (lima dari kiri) berkesempatan bergambar dengan tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, KKM merekodkan 22,463 kes HFMD di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 dengan 1,752 kes.

Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap penyakit endemik yang lain seperti demam denggi dan HFMD.

"Sentiasalah menjaga kebersihan diri kerana mungkin selama dua tahun ini kita tak fikirkan penyakit berjangkit yang lain, kita hanya beri tumpuan pada penyakit Covid-19.

"Berikutan itu, kita perkenalkan ciri baharu dalam MySejahtera nak ingatkan kepada rakyat bahawa memang ada secara endemik penyakit-penyakit lain seperti denggi, HFMD dan sebagainya.

"Jadi jangan kita lupa dengan adanya Covid-19, dah dapat diurus dengan baik, kita kembali semula berdepan dengan penyakit-penyakit yang lain," jelasnya.

Dalam perkembangan Covid-19 pula, Khairy menasihatkan serta mengalu-alukan individu yang sudah pun melepasi tempoh enam bulan selepas dos penggalak pertama terutamanya warga emas untuk mendapatkan dos penggalak kedua secara sukarela.

"... terpulang kepada mereka (warga emas), secara suka rela untuk menguatkan imuniti kita," katanya.