X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Teknologi NACF Korea Selatan tingkat pengeluaran susu sekali ganda

Abdul Fattah (kiri) beramah mesra dengan peserta pada Mesyuarat Agong Koperasi Pembangunan Daerah Kuantan di Kompleks Dagangan Mahkota, Jalan Sultan Ahmad Shah pada Sabtu.
A
A

KUANTAN - Projek ternakan lembu tenusu melalui kerjasama Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) Korea Selatan dijangka mampu meningkatkan pengeluaran produk itu sekali ganda.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, teknologi dan kepakaran daripada NACF bagi pengeluaran anak lembu tenusu kacukan Korea, New Zealand dan Australia yang diusahakan menerusi Projek Berkelompok Koperasi boleh mengeluarkan susu sekitar 30 hingga 45 liter bagi setiap ekor lembu.

Menurutnya, jumlah pengeluaran itu cukup banyak jika dibandingkan produktiviti lembu tempatan yang dianggarkan 15 hingga 20 liter.

"Kita dapati di Malaysia industri ini masih kecil dan pengeluaran susu negara hanya 20 peratus sahaja. Jadi kita percaya dengan adanya strategi ini boleh meningkatkan pengeluaran susu negara sekali gus mengelak kebergantungan susu import daripada luar negara khususnya New Zeland.

"Jadi, disebabkan itu, kita bersungguh-sungguh untuk membawa teknologi tenusu daripada Korea bagi menggandakan pengeluaran susu dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pembangunan Daerah Kuantan di Kompleks Dagangan Mahkota, Jalan Sultan Ahmad Shah pada Sabtu.

Abdul Fattah berkata, Korea telah membekalkan 1,500 benih sperma jantan dikahwinkan secara permanian beradas dengan lembu betina baka Australia dan News Zealand.

Katanya, projek perintis ini sudah bermula pada 2019 dengan membekalkan 21 ekor lembu dan kini ditempatkan pusat ternakan lembu tenusu di Kluang, Johor.

"Projek ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Jabatan Veterinar manakala Koperasi Mardi akan memfokuskan kepada pembakaan serta pengeluaran susu," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!