X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Jakim, JPV gantung kelulusan sembelihan halal Thomas Foods, Australia

Hakimah Mohd Yusoff: - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) menggantung kelulusan penyembelihan halal yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di Australia berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Mohd Norlizan Mohd Noor dalam satu kenyataan bersama berkata, penggantungan itu dilakukan sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Menurut mereka, ia susulan kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh loji sembelihan itu bagi mengeksport daging halal ke negara ini.

“Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia.

“Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Terbaru, sidang khas antara JPV dan Jakim dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia pada 13 Mei 2022 bersetuju membuat keputusan untuk menggantung kelulusan yang telah diberikan berkuatkuasa serta- merta,” katanya dalam kenyataan itu pada Sabtu.

Ujar mereka, pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberikan surat tunjuk sebab.

Menurutnya, SICHMA bakal berhadapan dengan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

“Jakim dan JPV ingin menegaskan bahawa prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci.

“Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai-pegawai terlatih JPV dan Jakim.

“Proses pengauditan ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan adalah secara berjadual menggunakan piawaian yang telah ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk.

"Proses kelulusan pula perlu melalui sebanyak empat kali pembentangan dan penilaian sebelum keputusan diberikan,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!