Peruncit, pemborong ayam dan telur kena kompaun RM100,800

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor melakukan pemantauan dan pemeriksaan harga barang sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan HRP 2022 di seluruh Johor bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan.
Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Johor melakukan pemantauan dan pemeriksaan harga barang sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan HRP 2022 di seluruh Johor bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah RM100,800 kompaun dikenakan terhadap peruncit dan pemborong di negeri ini kerana tidak mematuhi Penentuan Harga Maksimum (PHM) ayam dan telur sejak dikuatkuasakan pada 5 Februari 2022 hingga Sabtu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Khairul Bohro berkata, kesalahan tidak mematuhi PHM itu kerana tidak meletak tanda harga, menjual melebihi harga kawalan dan tidak guna papan tanda harga warna merah jambu.

"Berdasarkan rekod dari tempoh kuat kuasa PHM itu, KPDNHEP Johor telah melakukan 4,037 pemeriksaan meliputi 3,974 pemeriksaan di peringkat peruncit, 53 pemeriksaan di peringkat pemborong dan 10 pemeriksaan di peringkat peladang.

"Sebanyak 118 kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan jumlah kompaun RM100,800 telah dikenakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran sebelum, semasa dan selepas perayaan, KPDNHEP meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022.

Menurutnya, skim itu berkuat kuasa pada 26 April sehingga 10 Mei 2022 iaitu tujuh hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas perayaan.

Sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan HRP 2022, beliau berkata, KPDNHEP Johor melakukan 586 pemeriksaan meliputi 581 pemeriksaan di peringkat peruncit dan lima pemeriksaan di peringkat pemborong.

"Sebanyak 18 kes telah dihasilkan di bawah AKHAP 2011 dengan jumlah kompaun sebanyak RM2,200 telah dikenakan," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP Johor sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang rapi sepanjang masa dalam memastikan kestabilan harga barang di pasaran.

Jelas Mohd Khairul, antaranya dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga.

"Ini termasuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 bagi mewajibkan peniaga meletak tanda harga ke atas barangan yang dijual.

"Selain itu melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi mengawal harga barang keperluan semasa musim-musim perayaan utama dalam negara," katanya.

Aduan boleh disalurkan menerusi talian 03-8000 8000 Malaysia Goverment Call Centre (MYGCC); call centre 1800 886 800; enforcement command centre (ECC) 03-8882 6245/6088; nombor aduan Whatsapp KPDNHEP iaitu 019–279 4317; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana lapan pejabat KPDNHEP di seluruh Johor.