Maloney mahu Harimau Muda kekal fokus

Pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebagai persiapan aksi Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021.
Pemain Harimau Muda giat menjalani latihan sebagai persiapan aksi Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021.
A
A
A

PENGENDALI Skuad Bawah 23 (B-23) negara, Brad Maloney percaya masih terlalu awal untuk Harimau Muda dilabelkan sebagai pencabar pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021.

Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, beliau tidak mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi sebaliknya hanya mahu pemainnya terus fokus dan mengekalkan momentum kemenangan ketika bertemu Singapura pada aksi ketiga kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021 pada Sabtu.

“Kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya kerana tiada jaminan buat kami ketika ini untuk mara ke pusingan seterusnya.

Tetapi ia adalah permulaan yang bagus buat pasukan apabila menang dua perlawanan pertama.

“Bagaimanapun, perjalanan kami masih jauh kerana banyak perkara yang perlu hadapi sebelum boleh memikirkan perkara lain (pingat emas),” katanya.

Dalam saingan Kumpulan B Sukan SEA Hanoi 2021, Malaysia kini berada di kedudukan teratas selepas mengumpul enam mata daripada dua aksi, manakala Singapura kini berada di tangga kedua selepas mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.

Sementara itu, Maloney yakin Singapura masih antara pasukan terkuat meskipun tanpa kelibat anak Fandi Ahmad iaitu Irfan, Ilhan dan Ikhsan.

“Semua orang tahu bahawa bola sepak ini merupakan sukan berpasukan dan bukannya individu.

Walaupun tanpa kelibat mereka (anak Fandi) Singapura masih memiliki pemain yang berkualiti.

“Jadi saya percaya mereka mungkin akan beri ancaman kepada pasukan sekiranya mereka mengambil mudah cabaran Singapura,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Maloney turut memberitahu beliau masih belum dapat memberikan bayangan para pemain yang akan diturunkan pada perlawanan itu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan masih perlu melihat keadaan terkini beberapa pemain seperti Azam Azmi Murad dan Hairiey Hakim Mamat yang mengalami kecederaan sebelum ini.