Beri tekanan wujudkan Akta Pendanaan Politik

Gambar hiasan (Gambar kecil: Luqman)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Luqman)
A
A
A

SHAH ALAM - Anak muda perlu memberi tekanan dan isyarat yang jelas kepada parti politik dalam negara untuk mewujudkan Akta Pendanaan Politik.

Setiausaha Agung Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Luqman Abd Hamid berkata, pendanaan politik yang tidak terkawal merupakan punca utama berlakunya rasuah di dalam negara.

“Banyak syarikat dikaitkan dengan parti politik. Kita juga banyak melihat kepimpinan yang berbakat akhirnya tidak dapat dilahirkan kerana ia berlawan dengan kuasa wang semasa pengundian parti mahupun ketika pilihan raya umum (PRU).

“Justeru, anak muda perlu memberi tekanan dan isyarat jelas bahawa mereka tidak akan undi parti atau calon yang tidak mahu mewujudkan akta pendanaan politik, malah menolak mereka yang mempunyai rekod mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Luqman berkata, punca lain yang menyebabkan berlakunya rasuah dalam negara adalah hubungan tidak sihat antara tiga pihak iaitu elit politik, pegawai birokrasi dan pemain ekonomi.

Katanya, hubungan ketiga-tiga pihak tersebut telah membentuk persefahaman untuk memenuhi kehendak masing-masing.