Pemain Skuad Projek FAM-MSN perlu manfaat peluang di Kuantan

Hassan
Hassan
A
A
A

PENGENDALI Skuad Projek FAM-MSN, Hassan Sazali Waras mahu para pemainnya menikmati dan mengambil sepenuh pengalaman apabila bertandang ke Stadium Darul Makmur berdepan Sri Pahang bagi aksi pusingan kedua Piala FA pada Sabtu.

Jelasnya, tidak menjangkakan sebarang kejutan ke atas skuad Tok Gajah tersebut, sebaliknya mahu para pemain beraksi sebaiknya dalam memberi saingan kepada anak buah Christophe Gamel memandangkan ini adalah kali pertama pasukan itu mara ke pusingan kedua kejuaraan berprestij Liga Malaysia tersebut.

“Saya tidak boleh nak jangka apa-apa kejutan yang boleh berlaku tetapi kita akan bermain seperti biasa di mana ini adalah perlawanan yang agak besar kepada kami memandangkan ia kali pertama kami layak ke pusingan kedua Piala FA.

“Tetapi saya harus akur dengan pasukan lawan yang tidak boleh dipandang rendah sebab mereka ada kualiti tertentu dan sejarah yang besar terutamanya di pentas Piala FA.

“Cuma kali ini saya akan bagi ruang kepada pemain-pemain yang masih belum beraksi sebelum ini untuk malam esok, jadi mereka yang pernah bermain boleh rehat sebelum aksi Liga Premier lawan UiTM FC, minggu depan,” katanya.