Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Presiden UAE

Sheikh Khalifa Zayed al-Nahyan (depan) meninggal dunia pada usia 73 tahun. - Foto AFP
Sheikh Khalifa Zayed al-Nahyan (depan) meninggal dunia pada usia 73 tahun. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahya yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.

Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Sheikh Khalifa sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu itu.

"Seri Paduka mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut hantaran di laman Facebook Istana Negara.

Susulan berita kemangkatan Sheikh Khalifa, Al-Sultan Abdullah telah menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahya untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi.

Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada 1978 serta 1979 dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.

Atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed, Al-Sultan Abdullah turut berkenan berangkat ke Abu Dhabi Ahad ini untuk bersama-sama ketua negara dan kerajaan lain memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 16 Mei. - Bernama