Jangka kenderaan banyak di Lebuhraya Karak, LPT1 hujung minggu ini

Dijangka 160,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya KLK manakala LPT1 akan merekodkan 60,000 kenderaan. - Gambar hiasan
Dijangka 160,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya KLK manakala LPT1 akan merekodkan 60,000 kenderaan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan jumlah kenderaan yang banyak di lebuh raya tersebut hujung minggu ini, sempena cuti umum Hari Wesak.

Pengurus Besar Kanan Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, bermula hari ini hingga Isnin (16 Mei), pihaknya menjangkakan 160,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya KLK manakala LPT1 akan merekodkan 60,000 kenderaan.

"Sehubungan itu, pengguna yang bakal memulakan perjalanan pada Sabtu diingatkan untuk masuk ke lebuh raya sebelum 9 pagi bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa disebabkan keadaan trafik di Lebuhraya KLK sentiasa menunjukkan peningkatan setiap hujung minggu.

"ANIH Berhad juga mengingatkan pengguna lebuh raya untuk berhati-hati dan memandu dengan berhemah, cermat serta sabar demi keselesaan dan keselamatan semua," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.

Pengguna juga dinasihatkan memastikan baki e-wallet, Touch n’Go dan SmartTag mereka mencukupi untuk perjalanan yang lancar.

Untuk mendapatkan maklumat terkini, boleh melayari laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik, Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM 1800-88-7752 dan LPT-Line di talian 1-700-818-700. - Bernama