HFMD meningkat 25 kali ganda di Negeri Sembilan berbanding tahun lalu

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 1,446 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) direkodkan di Negeri Sembilan dalam tempoh Januari hingga Jumaat.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan 25 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Daerah Seremban telah mencatatkan jumlah kes HFMD yang paling tinggi iaitu sebanyak (834 kes), diikuti oleh Port Dickson sebanyak (184 kes), Jempol dan Rembau masing-masing sebanyak (140 kes).

"Selain itu Kuala Pilah sebanyak (66 kes), Tampin (53 kes) dan Jelebu (29 kes)," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, kumulatif wabak HFMD di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 30 wabak dan hanya satu wabak HFMD yang masih aktif iaitu di daerah Jempol.

Beliau berkata, peningkatan kes yang ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat-tempat awam.

"Antara tindakan yang telah dilakukan adalah melakukan aktiviti promosi langkah pencegahan HFMD, melakukan pemantauan ke premis-premis tadika dan pusat jagaan kanak-kanak, serta melakukan penutupan premis bagi yang mempunyai wabak HFMD.

"Ibu bapa atau penjaga dinasihatkan sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing," katanya.