Ekonomi Malaysia kembali ke landasan lebih kukuh: Mustapa

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia kembali ke landasan yang lebih kukuh pada suku pertama 2022 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara mencatatkan pertumbuhan 5 peratus, angka yang jauh lebih baik daripada jangkaan kebanyakan agensi penganalisis ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara petunjuk yang mencatat pencapaian lebih baik termasuklah pelaburan langsung asing (FDI) yang merekodkan aliran masuk bersih lebih tinggi meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM24.4 bilion berbanding RM8.5 bilion pada suku pertama 2021 dan kira-kira separuh daripada RM48.1 bilion bagi keseluruhan tahun 2021.

Selain itu, katanya, pasaran buruh juga semakin pulih dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 4.1 peratus pada suku pertama 2022 dengan bilangan penganggur susut kepada 671,200 orang, iaitu paras terendah sejak suku kedua 2020.

"Indeks Sentimen Pengguna yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melepasi nilai ambang optimistik mencatatkan108.9 mata pada suku pertama 2022 berbanding 97.2 mata pada suku keempat 2021.

"Manakala Indeks Keyakinan Ketua Eksekutif yang diterbitkan bersama oleh Vistage dan MIER mencatatkan 122.1 mata pada suku pertama 2022, yang tertinggi sejak pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata, pencapaian ekonomi negara dijangka terus kukuh pada suku kedua 2022 didorong oleh pembukaan semula sempadan negara dan peralihan ke fasa endemik bermula 1 April, 2022.

"Pembukaan semula sempadan dijangka dapat memulihkan sektor pelancongan yang terkesan oleh pandemik COVID-19 sejak Mac 2020, terutamanya kepada industri berkaitan termasuk penerbangan, penginapan dan hospitaliti.

"Kerajaan menjangkakan ketibaan seramai dua juta pelancong asing pada tahun ini dan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, Malaysia berdepan dengan risiko persekitaran luar yang mencabar.

"Ini termasuklah jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia bagi 2022 yang lebih rendah seperti yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (3.6 peratus berbanding unjuran 4.4 peratus pada Januari 2022) dan Bank Dunia (3.2 peratus berbanding unjuran 4.1 perats pada Januari 2022).

"Konflik Rusia-Ukraine yang telah berlarutan kira-kira tiga bulan menyebabkan berlakunya gangguan rantaian bekalan global serta peningkatan harga minyak mentah dan komoditi yang akan memberi tekanan kepada kenaikan inflasi," kata Mustapa.

Selain itu, katanya, langkah yang diambil oleh China untuk mengetatkan sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19 akan mempengaruhi permintaan eksport negara memandangkan China merupakan rakan dagangan utama Malaysia.

"Malah ketidaktentuan dasar monetari beberapa negara maju akan turut mempengaruhi aliran pasaran modal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memantapkan usaha seperti mempercepat pembaharuan dan transformasi struktur ekonomi, memantapkan kedudukan fiskal kerajaan, menggalakkan pelaburan swasta domestik dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan terutamanya dalam mengurangkan birokrasi dan memudahkan urusan perniagaan.

"Selain itu, kerajaan juga akan merancakkan aktiviti bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara dan memastikan kestabilan harga dan membendung kenaikan harga barangan,” katanya. - Bernama