Aset yang dipindahkan dari TH ke SPV tidak dicairkan: Mujahid

Mujahid - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - Aset bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan daripada Lembaga Tabung Haji (TH) kepada syarikat tujuan khas (SPV) tidak dicairkan, persidangan Dewan Rayat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, SPV berperanan untuk menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset tersebut melalui strategi pengudangan (warehousing) dan penstrukturan semula.

"Selain itu, peranan SPV ialah meneruskan kelangsungan operasi aset yang diambil alih, memaksimumkan nilai ambil pulih dan menebus kesemua instrumen kewangan yang diterbitkan oleh SPV dan dilanggan oleh TH,” katanya.

Beliau menjawab soalan Awang Hashim (Pas-Pendang) mengenai sama ada aset anak syarikat TH telah dicairkan melalui SPV yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan.

Sesi soal jawab itu kemudian kecoh apabila Awang dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mendesak supaya Mujahid menamakan individu yang dilantik ​​​​​​​sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Anggota Lembaga ​​​​​​​Pengarah SPV. Mujahid yang tidak memberikan nama secara spesifik berkata CEO bagi syarikat tujuan khas itu berada di bawah MOF Incorporated, manakala Anggota Lembaga ​​​​​​​Pengarahnya terdiri daripada pegawai Kementerian Kewangan dan seorang pengarah bebas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kemudian menghentikan ​​​​​​​pertelingkahan​​​​​​​itu dengan menyarankan supaya Mujahid memberi jawapan bertulis kepada soalan tersebut.

Bank Negara Malaysia telah mengawal selia TH bermula Januari tahun ini ​​​​​​​sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan ​​​​​​​secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Kesemua aset yang dikenal pasti dipindahkan kepada SPV itu merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia