JPJ siasat pemandu, pengendali sebabkan nahas rentung

Keadaan treler yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, pada Rabu. - Foto Bomba Perak
Keadaan treler yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, pada Rabu. - Foto Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Siasatan di bawah audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) dilakukan ke atas pihak terlibat berhubung insiden kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, Rabu lepas.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu bagi menentukan bentuk tindakan undang-undang sewajarnya yang boleh diambil.

Menurutnya, jika hasil siasatan daripada ICOP mendapati pemandu dan pengendali gagal mematuhi syarat dan permit perkhidmatan oleh APAD dan JPJ, tindakan gantung atau batal permit dan lesen pengendali boleh dilakukan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah.

"Selain itu, siasatan polis juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 akta sama kepada pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah yang boleh mengakibatkan pemandu hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan," kata kenyataan itu.

Semakan menerusi pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler berusia 28 tahun terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

Katanya, jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

"JPJ memandang serius insiden yang telah berlaku ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan mana-mana pengendali kenderaan perdagangan di Malaysia.

"Diharapkan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang," katanya.

Kenyataan sama menegaskan bahawa, usaha JPJ termasuk pelaksanaan Larangan Kenderaan Barangan (Road Ban) sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri lepas adalah untuk memastikan nahas seperti ini dapat dielakkan sekali gus menurunkan kadar kemalangan di Malaysia.

Katanya, pada masa sama semua pengendali syarikat, pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan disaran sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya sekaligus mewujudkan ekosistem jalan raya yang selamat di negara ini.

Kemalangan sekitar jam 12.52 malam di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora pada Rabu lepas, lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dipandu seorang lelaki tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian lalu merempuh belakang kereta yang dinaiki lima mangsa terbabit.

Rempuhan menyebabkan kereta yang dipandu di lorong kiri diseret hingga melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler membawa muatan mozek di hadapan sebelum terbakar.