Jawatankuasa khas setuju hampir semua dasar larangan tukar parti

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai gubalan Rang Undang-undang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, kata sepakat dicapai pada mesyuarat pada Khamis yang turut mendapatkan pandangan bertulis daripada badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat madani (CSO), parti-parti politik dan pakar akademik berkaitan parameter gubalan Rang Undang-undang itu.

”Mesyuarat ini seterusnya akan meneliti pandangan bertulis berkenaan sebelum Rang Undang-undang ini dapat dimuktamadkan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, segala prosiding dalam Jawatankuasa Pilihan Khas akan direkodkan dalam satu penyata selaras dengan ketetapan Peraturan Mesyuarat 80(1), sebelum dibentangkan kepada ahlinya untuk mendapat persetujuan, seterusnya dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat yang dicadang untuk diadakan bulan depan.

Menurutnya, Rang Undang-undang itu akan dibentangkan dan dibahaskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada masa yang akan ditetapkan nanti.

"Pihak jawatankuasa akan bermesyuarat semula pada 19 Mei ini untuk meneliti draf Rang Undang-undang yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara berpandukan maklum balas yang diterima melalui semua keputusan dasar dan perincian tafsiran yang dibuat mesyuarat semalam.

”Selain itu, draf Rang Undang-undang ini juga akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pemandu tersebut,” katanya.

Beliau berkata, mengikut usul yang dibentangkan semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas ini diberi tempoh masa satu bulan untuk menyediakan penyata.

Bagaimanapun beliau berkata, jawatankuasa itu boleh melanjutkan tempoh pembentangan penyata kepada Parlimen mengikut usul yang sama bagi memperhalusi draf Rang Undang-undang berkenaan dan Penyata Parlimen.

"Jawatankuasa ini akan meneruskan tugas mengikut mandat yang diluluskan oleh Parlimen dan diharapkan Rang Undang-undang berkenaan dapat dibentang pada sidang khas Parlimen di bawah Peraturan 11(3) atas budi bicara perdana menteri dan pertimbangan Jemaah Menteri.

"Sehingga kini prestasi jawatankuasa ini adalah sangat menggalakkan dengan sokongan semua ahli termasuk kerjasama daripada Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,” katanya. - Bernama