'Kali ketiga nahas, mungkin aku tak ada dah'

Kenangan bersama Allahyarham Mohamad Khirul Afifi. Gambar kecil: Abu Bakar
A
A

SLIM RIVER - "Ayah pernah bergurau kalau dia kemalangan untuk kali ketiga, mungkin dia akan pergi selamanya, tak sangka kenyataan itu benar-benar berlaku," kata Mohamad Khirul Azran, 25, anak kepada Abu Bakar Ahmad, 58, yang maut bersama anak lelakinya, Mohamad Khirul Afifi, 26, dalam satu rempuhan lori, semalam.

Kemalangan sekitar jam 7.15 malam di KM379.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Slim River itu berlaku, ketika kedua-dua mangsa sedang memeriksa kerosakan pada kenderaan dibawa di lorong kecemasan.

Ketika kejadian, kedua-duanya yang bekerja sebagai pemandu lori masing-masing membawa lori tangki muatan susu getah dalam perjalanan pulang ke Kedah.

Mohamad Khirul Azran berkata, ayahnya yang sudah 15 tahun bekerja sebagai pemandu lori pernah terlibat dalam dua kemalangan sekitar lima tahun lalu. Bagaimanapun menurutnya, ayahnya terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan meskipun lori dibawa rosak teruk.

"Mungkin sebab itu dia selalu ingatkan diri yang dia tak kan selamat kalau terbabit kemalangan lagi. Dia juga pernah cakap kepada kami adik-beradik, kalau boleh dia nak mati pun dengan lori juga.

"Pada mulanya saya anggap ia mengarut, tetapi sekarang gurauan itu betul-betul terjadi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajal dua beranak

Dia yang ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River mengakui, terkesan dengan pemergian dua tunggak keluarga sekaligus selepas kehilangan abang sulung dan ibunya, sekitar tiga tahun lalu.

Katanya, Mohamad Khirul Afifi yang merupakan anak kedua daripada lima beradik memang seorang abang yang kuat bekerja dan bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan adik beradik yang lain.

"Dari kecil dia memang suka dengan lori, malah bercita-cita nak kerja bawa lori dan sanggup cari duit sendiri untuk biayai lesen memandu lori. "Dia ada maklumkan kepada kami yang dia nak kahwin tahun depan, tapi nampaknya hajat dia tidak kesampaian," katanya.

Mohamad Khirul Azran berkata, sepanjang lima tahun abangnya memandu lori dan jika berlaku kerosakan, orang pertama dihubungi adalah ayahnya.

"Ayah sendiri akan pergi untuk tolong walaupun ketika itu dia sudah sampai di rumah. Itu memang tabiat ayah untuk jaga keselamatan abang, tapi sekarang dua-dua sudah tiada, tinggallah saya bersama adik perempuan berusia 22 tahun dan adik lelaki berusia 21 tahun," katanya.

Jenazah dikebumikan di Kampung Padang Kuala Pegang, Baling Kedah selepas solat Asar, hari ini.