HMFD di Perak meningkat 10 kali ganda

Kes jangkitan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) di Perak mencatatkan peningkatan 10 kali ganda sehingga 30 April lalu. Gambar hiasan
Gambar kecil: Mohd Akmal
Kes jangkitan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) di Perak mencatatkan peningkatan 10 kali ganda sehingga 30 April lalu. Gambar hiasan Gambar kecil: Mohd Akmal
A
A
A

IPOH - Kes jangkitan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) di Perak mencatatkan peningkatan 10 kali ganda sehingga 30 April lalu.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sehingga minggu epid 17/2022, sebanyak 1,636 kes HFMD telah dilaporkan di negeri ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, kes tersebut meningkat sebanyak 10.6 kali ganda apabila tahun lalu hanya mencatatkan 140 kes.

"Kes HFMD tinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 1,557 kes (95.1 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 70 kes (4.3 peratus) dan selebihnya berlaku pada umur lebih 12 tahun.

"Wabak HFMD akan dilaporkan apabila terdapat dua atau lebih kes dikesan dalam premis yang sama dalam tempoh 10 hari iaitu dua tempoh inkubasi jangkitan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Akmal berkata, sehingga kini sebanyak 100 wabak dilaporkan di Perak dengan daerah Kinta mencatat angka tertinggi dengan 28 wabak diikuti Larut, Matang dan Selama (LMS) sebanyak 18 wabak dan Hulu Perak (8).

Menurutnya, majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika iaitu 69 wabak diikuti oleh rumah persendirian (28), pusat jagaan kanak-kanak (2) dan sekolah rendah (1).

"Ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala HFMD dinasihatkan agar tidak menghantar anak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah bagi mengelakkan daripada menjangkiti kawan-kawan.

"Pada masa yang sama, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala HFMD ini ke tempat awam yang ramai orang seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri Perak dengan kerjasama semua jabatan dan agensi berkaitan akan mempertingkatkan lagi langkah-langkah pencegahan dan kawalan terhadap penyakit tersebut.