'Damailah di sana, Along'

Shamila menyiram air ke pusara anaknya selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal, di Kemaman, pagi Jumaat. Gambar kecil: Ahmad Naim
Shamila menyiram air ke pusara anaknya selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal, di Kemaman, pagi Jumaat. Gambar kecil: Ahmad Naim
A
A
A

KEMAMAN - 'Damailah di sana, Along,' demikian suara hati seluruh ahli keluarga penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, yang mesra dengan gelaran Along.

Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 8 pagi, pada Jumaat berhampiran pusara datuknya, Abdullah Sulong yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Kijal, di sini.

Urusan pengebumian Allahyarham berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga serta kenalan.

Hadir sama ketika majlis pengebumian itu ialah Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Jenazah Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik tiba dari Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS di kediaman neneknya di Kampung Penunjuk, di sini kira-kira jam 3.15 pagi.

Solat jenazah turut diadakan sekali lagi di kediaman neneknya selepas solat Subuh pada Jumaat.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Shamila Abdullah, 44, meluahkan rasa syukur kerana urusan pengebumian anaknya itu berjalan lancar.

"Walaupun masih bersedih dan terkejut apa yang berlaku, saya reda dan pasrah dengan pemergiannya.

"Saya bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan sejak semalam. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah arwah,” katanya.

Ahmad Naim yang berasal dari Chukai, di sini, antara lima penuntut yang rentung selepas terlibat kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, tengah malam Rabu.

Mangsa merupakan pelajar semester dua, Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Islam di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Empat lagi mangsa lain ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.