Covid-19: Kes harian mula meningkat sepanjang minggu raya

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes harian baharu Covid-19 dalam negara kembali meningkat dengan sebanyak 3,410 kes dilaporkan pada Khamis (12 Mei) setelah berada pada paras bawah 1,500 kes selama kira-kira seminggu sebelum ini.

Trend meningkat dikesan bermula pada 4 Mei dengan 1,054 kes dan sehari sebelum itu (3 Mei), negara mencatat kes terendah untuk tahun 2022 iaitu sebanyak 922 kes.

Berdasarkan data harian CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikumpul sepanjang tempoh enam hari Rangkuman Mingguan (7 Mei hingga 12 Mei 2022), sebanyak 15,107 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan berbanding 8,216 kes harian baharu untuk tempoh yang sama, 30 April hingga 5 Mei 2022.

Dengan 3,410 kes harian baharu, kes kumulatif meningkat kepada 4,470,471 manakala jumlah kes aktif turut meningkat kepada sebanyak 26,826.

Dengan sebanyak 4,470,471 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 23 daripada 226 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19 dengan Ukraine (5,006,460) dan Mexico (5,745,652) berada di hadapan.

Dalam kalangan 226 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Amerika Syarikat mencatat kes harian baharu tertinggi pada Khamis dengan 85,813 kes membabitkan 221 kematian, diikuti Jerman 82,652 kes (179 kematian) dan Australia 57,314 kes (55 kematian).

Amerika Syarikat juga mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi melebihi sejuta kes, iaitu sebanyak 1,026,108 kes.

Sementara itu, data CovidNow KKM setakat jam 11:59 malam pada 12 Mei 2022 menunjukkan sebanyak 25,414 kes (94.7 peratus) dikuarantin di rumah daripada 26,826 kes aktif Covid-19 yang dilaporkan.

Sebanyak 33 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,328 kes (5.0 peratus) di hospital; 17 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 34 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Sementara itu, sebanyak 1,430 kes sembuh dilaporkan pada 12 Mei dengan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,408,043 kes.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang tempoh rangkuman ini menunjukkan peningkatan setelah mencatat paras terendah 0.52 pada 6 Mei 2022 dan mula melepasi paras 1.00 pada 11 Mei 2022.

Negeri yang mencatat Ro/Rt yang tinggi pada 12 Mei 2022 ialah WP Putrajaya (1.09), Melaka (0.94) dan Kelantan (0.92).

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif COVID-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Ro/Rt 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini. - Bernama

TAGS