PM hulur sumbangan peribadi kepada waris pelajar USAS

Syed Mohd Fazmi (kanan) menyampaikan ucapan takziah perdana menteri kepada waris dan keluarga mangsa.
Syed Mohd Fazmi (kanan) menyampaikan ucapan takziah perdana menteri kepada waris dan keluarga mangsa.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di sini.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik beliau, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohamad di Hotel Casuarina Kuala Kangsar pada Jumaat.

Dalam pertemuan itu Syed Mohd Fazmi, turut menzahirkan ucapan takziah daripada Ismail Sabri kepada ahli keluarga mangsa dan memaklumkan Perdana Menteri kini berada di Washington, Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS.

"Dikesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan takziah daripada Perdana Menteri kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini.

Syed Mohd Fazmi (duduk dari kanan) ketika menziarahi ahli keluarga dan waris mangsa di Hotel Casuarina Kuala Kangsar.
Syed Mohd Fazmi (duduk dari kanan) ketika menziarahi ahli keluarga dan waris mangsa di Hotel Casuarina Kuala Kangsar.

"Beliau turut mengarahkan supaya tindakan segera perlu diambil berhubung insiden kejadian yang menimpa kelima-lima mangsa," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam Rabu lepas, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Setakat Khamis, proses bedah siasat ke atas mayat dua daripada lima mangsa yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, selesai.

Identiti kedua-dua mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal dari Parit Buntar telah dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.

Bedah siasat ke atas tiga lagi mangsa akan dijalankan di Hospital Taiping pada Jumaat.