Coutinho milik Villa

Coutinho - Foto Getty Images
Coutinho - Foto Getty Images
A
A
A

TONGGAK serangan kelahiran Brazil, Philippe Coutinho sah menjadi milik Aston Villa selepas kelab itu melengkapkan pembelian pemain daripada Barcelona dalam perjanjian yang bernilai £17 juta (RM91.17 juta).

Coutinho yang sebelum ini dipinjamkan ke Villa Park selama separuh musim pada Januari telah menandatangani kontrak sehingga Jun 2026 selepas tidak mendapat tempat dalam pasukan Barcelona.

Pengendali Villa, Steven Gerrard berkata, dia menyifatkan pembelian itu sebagai tindakan bijak yang dibuat oleh kelabnya dalam usaha untuk membentuk pasukan yang lebih ampuh pada musim hadapan.

"Ia adalah pembelian yang bijak untuk Aston Villa kerana Phil (Coutinho) seorang pemain profesional dan impaknya terhadap pasukan agak hebat sejak dia menyertai pasukan ini pada Januari.

"Dengan cara bawa diri baik dalam dan luar padang, saya yakin dia mampu untuk dijadikan contoh terbaik buat pemain-pemain muda kami untuk menjadi lebih bagus.

“Malah dengan adanya dia, ia dilihat akan membantu kami untuk membentuk skuad yang ampuh bagi menempuh musim akan datang,”katanya.

Sebelum ini Coutinho berjaya mempamerkan aksi mengagumkan bersama Villa sejak tiba sebagai pemain pinjaman pada Januari lalu selepas bergelut untuk memberikan prestasi terbaik ketika berada di Barcelona.

Untuk rekod, bekas bintang Liverpool itu sudah menjaringkan empat gol dan membantu tiga gol untuk Villa setakat ini.