X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Allahyarham Ahmad Naim Najmi penerima Anugerah Pengakap Raja

Allahyarham Ahmad Naim Najmi (kiri) ketika bergiat aktif dalam pengakap.
A
A

KEMAMAN - Kecemerlangan dalam bidang kokurikulum, sahsiah dan akademik ditonjolkan Allahyarham Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, mangsa tragedi kemalangan dekat Terowong Menora di Kuala Kangsar wajar dicontohi.

Timbalan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kemaman, Mohd Nasir Hamzah berkata, pemuda berusia 21 tahun itu merupakan ahli pengakap yang sangat aktif di daerah Kemaman dan di Terengganu.

Menurutnya, Allahyarham telah menyertai aktiviti dan program pengakap di semua peringat bermula peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Semasa bergiat dalam pengakap, Allahyarham telah lulus semua ujian lencana dari lencana keahlian sehingga ujian tertinggi peringkat pengakap remaja.

"Kemuncaknya pada 2018, Allahyarham telah lulus dan dianugerahkan Anugerah Pengakap Raja iaitu anugerah tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) di mana sijilnya ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta semua Sultan di Malaysia.

"Allahyarham satu-satunya penerima anugerah tersebut bagi daerah Kemaman yang mana kali terakhir diterima sejak 20 tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu berkata, Allahyarham Ahmad Naim Najmi sebelum ini telah menghadiri perkhemahan dan jambori pengakap di luar negara seperti di Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina.

"Allahyarham bukan sahaja cemerlang dalam kokurikulum dan sahsiah bahkan cemerlang juga dalam bidang akademik serta pernah ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bagi pengakap daerah dan negeri Terengganu.

"Semangat yang ditinggalkan Allahyarham wajar menjadi contoh dan kebanggaan warga Kemaman dan Terengganu," ujarnya.

Ahmad Naim yang berasal dari Chukai, di sini, antara lima penuntut yang rentung selepas terlibat kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, tengah malam Rabu.

Mangsa merupakan pelajar semester dua, Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Islam di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Empat lagi mangsa lain ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!