Apabila yang tidak 'sebulu' sudah boleh sepentas

Debat Perdana yang menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
Debat Perdana yang menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Tirai pentas Debat Perdana antara dua tokoh politik berpengaruh iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlabuh tanpa sebarang provokasi berat.

Walaupun sejak awal ditekankan Debat Perdana ini bukan pentas pertandingan mencari siapa kalah atau menang, boleh dikatakan masing-masing adalah pemenang dalam zon masing-masing.

Perkembangan itu membuktikan politik di negara ini lebih matang berdepan hujah-hujah lawan yang dilihat tidak 'sebulu'.

Jelas, sesi debat seumpama itu boleh menjadi satu titik tolak kepada penganjuran siri-siri perdebatan melibatkan pemimpin-pemimpin berpengaruh di pentas terbuka.

Najib menerusi perkongsian di Facebook selepas program itu turut menyifatkan anjuran Debat Perdana sebagai satu malam yang bersejarah.

"Fakta. Halatuju. Visi. Debat dan perkongsian yang jelas untuk semua.

"Semoga kita dapat terus berusaha bersama-sama meningkatkan Malaysia ke tahap yang lebih baik lagi," katanya.

Anwar juga dalam reaksi ringkas kepada media selepas acara debat itu turut mengalu-alukan penganjuran program seumpama itu untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bahkan katanya, penganjuran debat akan datang haruslah melibatkan isu-isu yang lebih besar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat senada apabila berpandangan debat seumpama itu wajar dilakukan dengan lebih kerap sebagai platform memberi kefahaman terhadap pelbagai persoalan yang membelenggu rakyat selama ini.

Beliau pada masa sama berpandangan bahawa kombinasi idea yang menjadi hujah dua sahabat lama politik itu boleh menjadi kerangka kepada dasar negara.

Ternyata reaksi awal tiga pemimpin besar ini memberi gambaran tentang kesediaan mereka untuk 'menghadam' segala hujah lawan demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Namun, sejauh manakah hujah-hujah yang disampaikan bersaksikan mata dan telinga jutaan rakyat Malaysia ini dapat dimanfaatkan dan memberi keuntungan kepada rakyat Malaysia?

Penulis sendiri, dan ramai marhaen setia menanti jawapannya.