Pelanggan persoal AirAsia tawar tiket melebihi kemampuan

Keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjelang perayaan Aidilfitri lalu apabila orang ramai menggunakan perkhidmatan udara untuk pulang ke kampung. - Foto: Bernama
Keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjelang perayaan Aidilfitri lalu apabila orang ramai menggunakan perkhidmatan udara untuk pulang ke kampung. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai terutama pelanggan AirAsia mempertikaikan tindakan syarikat penerbangan tambang murah itu menjual tiket penerbangan dalam jumlah melebihi keupayaan bilangan pesawat mereka beroperasi.

Mereka mempersoalkan kewajaran penawaran sedemikian kerana menyebabkan kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan membabitkan beberapa destinasi menjelang perayaan Aidilfitri baru-baru ini sehingga menyusahkan orang ramai.

Seorang pekerja swasta, Natasha Hamdan, 27, berkata, sebelum membuka jualan tiket, pihak AirAsia sepatutnya menyemak terlebih dahulu keupayaan mereka termasuk jumlah kakitangan yang bertugas pada tarikh ditawarkan serta menyemak bilangan kapal terbang yang boleh bergerak selaras dengan jumlah tiket yang ditawarkan.

Natasha
Natasha

“Saya yang bercuti ke Kuching, Sarawak pada 7 Mei lalu kecewa kerana terpaksa menunggu selama satu jam sebelum berlepas. Mereka tidak memaklumkan lebih awal mengenai penangguhan waktu penerbangan saya pada hari tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Sofiyan Dwisaputra Ridwan, 27, turut mempersoalkan ketelusan syarikat penerbangan tambang murah itu menawarkan perkhidmatan jualan tiket, lebih-lebih lagi sewaktu menjelang perayaan Aidilfitri.

Sofiyan Dwisaputra
Sofiyan Dwisaputra

“Perayaan Aidilfitri tahun ini ramai yang berebut mahu balik ke kampung masing-masing. Jadi, mereka sepatutnya memikirkan inisiatif yang bijak supaya penumpang tidak menghadapi masalah seperti tertinggal kapal terbang dan sebagainya. Beli tiket bukannya murah,” luahnya.

Bagi peniaga, Che Mohd Normazeli Che Jusoh, 34, sekiranya pihak syarikat AirAsia tidak dapat memenuhi permintaan, mereka sepatutnya tidak menjual tiket yang akhirnya menimbulkan pelbagai masalah sehingga mendatangkan kerugian kepada penumpang.

Che Mohd Normazeli
Che Mohd Normazeli

“Lebih teruk apabila penumpang tidak mendapat semula ganti rugi, malah tiada sesiapa yang mahu bertanggungjawab terhadap isu yang dihadapi,” ujarnya.

Pandangan sama turut dikongsikan seorang pelajar, Nurul Khairiena Khairul Azman, 25, bahawa syarikat terbabit perlu memandang serius terhadap tahap keupayaan setiap pesawat yang beroperasi.

“Ini penting supaya tidak berlaku sebarang kerosakan ataupun masalah teknikal sehingga menjejaskan penumpang,” katanya.

Nurul Khairiena
Nurul Khairiena

Mengulas isu sama, Nor Zaimah Mustapha, 29, yang turut menjadi salah seorang pelanggan AirAsia berkata, dia bukan sahaja rugi kerana 'hilang' penerbangan tetapi terpaksa menukar jadual.

“Justeru, syarikat ini perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara ini. Pada masa sama, bertindak lebih proaktif untuk mengambil tindakan kerana masalah ini telah lama berlaku,” kata eksekutif bank itu.

Nor Zaimah
Nor Zaimah

Pada Rabu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah pesawat yang terhad dikenal pasti antara empat punca utama menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan AirAsia membabitkan pelbagai destinasi.

Menurut beliau, AirAsia kini beroperasi hanya menggunakan 40 pesawat berbanding 95 pesawat sebelum pendemik Covid-19 melanda.

Kelewatan penerbangan turut diluahkan menerusi Twitter.
Kelewatan penerbangan turut diluahkan menerusi Twitter.