'Direct cash transfer' cara terbaik bantu rakyat: Najib

Najib (kiri) semasa Debat Perdana bersama Anwar (kanan) di MATIC pada Khamis.
Najib (kiri) semasa Debat Perdana bersama Anwar (kanan) di MATIC pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berpandangan cara yang terbaik dalam membantu rakyat adalah dengan cara 'direct cash transfer'.

Kata beliau, melalui kaedah tersebut, rakyat mempunyai kebebasan dalam memilih serta dapat gunakan duit tersebut mengikut kehendak masing-masing dengan lebih cepat.

"Begitu juga dengan prinsip, bila saya sebut 'cash is king', 'king' itu rakyat sebab itu cara untuk kita nak tolong rakyat, cara terbaik 'direct cash transfer'.

"Bila kita masukkan (duit) ke dalam akaun rakyat, rakyat boleh pilih.

"Kita bagi pada semua. Kita tidak pilih bulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini pada Khamis.

Debat ini mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu, berkata, bantuan perlu disalurkan dengan cepat bagi membantu rakyat-rakyat yang dalam kesusahan.

"Gunakanlah duit itu kalau nak belikan buku untuk anak, belilah. Kalau nak beli beras, belilah beras.

"Asalkan kita tolong rakyat dengan segera dan cepat," ujarnya.

Debat Perdana itu menyentuh dua isu utama iaitu membabitkan persoalan sama ada syarikat perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia, Sapura Energy Berhad (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya serta isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung kewajaran bailout (menyelamatkan) SEB yang berdepan dengan masalah aliran tunai demi kepentingan strategik negara.

Turut hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.