Sultan ingatkan pemimpin, penjawat awam jauhi rasuah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Kompleks SPRM Selangor. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Kompleks SPRM Selangor. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Para pemimpin di Selangor termasuk penjawat awam diingatkan agar sentiasa menitikberatkan etika kerja yang berlandas nilai-nilai murni dan kejujuran tinggi ketika menjalankan amanah tugas yang diberi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan perkara ini agar tiada penjawat awam yang terlibat mahupun mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah.

"Ini juga termasuklah perkara-perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

"Semua penjawat awam perlu mengelakkan diri daripada segala perbuatan rasuah termasuklah penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negeri," titahnya.

Baginda juga berkenan dengan usaha dan komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Negeri Selangor berserta rakyat negeri ini dalam memerangi gejala rasuah dan memastikan Selangor bebas rasuah dan salah guna kuasa.

"Beta percaya, di bawah pentadbiran Datuk Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari), perkara seperti ini dapat diambil berat dan dapat ditangani.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Kompleks SPRM Selangor disaksikan oleh Ketua SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Kompleks SPRM Selangor disaksikan oleh Ketua SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. Foto Sinar Harian/Rosli Talib

"Rakyat selaku pembayar cukai akan sentiasa mempersoalkan sekiranya perbelanjaan wang rakyat tidak diuruskan dengan betul dan berhemah," titah baginda dalam Majlis Perasmian Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Baginda bertitah, melihat terbinanya bangunan SPRM Selangor ini, baginda mengharapkan agar segala projek pembangunan di Selangor akan berterusan dengan menekankan aspek ‘value for money’ bagi setiap pelaksanaan projek untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat.

"Isu-isu seperti ketidakadilan di dalam pemberian projek, kontraktor bermasalah, pembelian barang melebihi harga pasaran, projek bagi orang miskin yang tidak berkualiti, peruntukan dana kepada rakyat yang disalahguna dan projek lewat disiapkan telah menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap kerajaan," titahnya.

Baginda bertitah, statistik yang dikeluarkan oleh SPRM baru-baru ini amat membimbangkan di mana merekodkan beribu-ribu kertas siasatan yang dibuka melibatkan amalan rasuah oleh penjawat awam dan orang-orang politik.

"Statistik ini memberi gambaran yang buruk terhadap penjawat awam dan orang-orang politik yang merupakan pemimpin kepada rakyat dan negara.

"Menjadi penjawat awam dan orang politik bukan jalan untuk mengumpul harta kekayaan serta bermewah-mewah, kita perlu mengingati kembali sumpah jawatan yang telah diikrarkan untuk berkhidmat dengan amanah dan jujur kepada rakyat," titiah baginda.