Najib cadang empat teras transformasi ekonomi negara

Najib pada program Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Najib pada program Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat teras utama dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Menurutnya, empat aspek itu adalah perlunya kepada ekonomi yang kukuh, sektor korporat yang mampan dan berdaya saing, kestabilan politik dan mobiliti sosial.

"Bila kita sebut hal ekonomi, saya ingin tekankan tentang visi dan matlamat kita yang tak lain, tak bukan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

"Ini boleh dijadikan sebagai visi yang kita kongsi bersama.

Kalau itu kita terima sebagai destinasi kita, soalnya bagaimana kita nak sampai ke situ.

"Apa kaedah, apa caranya.

Saya ingin mengajukan supaya kita melakukan transformasi yang menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang julung kali menampilkannya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini pada Khamis.

Debat ini mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor minyak umpamanya, menyumbang kepada 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Sektor minyak menampung 60,000 pekerjaan dan sektor ini juga memberikan peluang perniagaan kepada 4,000 perusahaan kecil dan sederhana.

"Nilai sektor ini keseluruhannya berjumlah RM383 bilion, bukan satu jumlah kecil.

Dalam hal ini, Sapura Energy Berhad (SEB) merupakan sebuah syarikat strategik, lebih-lebih lagi setelah dijadikan milik rakyat Malaysia melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB).

"Justeru, kalau kita selamatkan Sapura, ia juga menguntungkan rakyat.

Sebaliknya, jika Sapura Muflis, rakyat juga yang rugi," ujar beliau.