Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada skuad terjun negara

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad terjun negara atas kejayaan merangkul kesemua lapan pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad terjun negara atas kejayaan merangkul kesemua lapan pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad terjun negara atas kejayaan merangkul kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan dalam acara terjun pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Turut menzahirkan ucapan sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan cemerlang yang dicapai sekali gus mempertahankan gelaran juara keseluruhan sukan terjun yang diraih sejak Sukan SEA Myanmar 2013.

”Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada atlet lain untuk berusaha dan memberi prestasi terbaik dalam pemburuan pingat emas di temasya tersebut,” demikian menurut Istana Negara menerusi catatan di akaun Facebook rasmi pada Khamis.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua atlet dan mendoakan semoga mereka mencapai kejayaan cemerlang.

Pingat emas acara terjun diperoleh Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 1 meter (m) papan anjal, Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang (3m papan anjal seirama lelaki), Tze Liang (1m papan anjal), Ng Yan Yee-Ong Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita) dan Yan Yee (3m papan anjal wanita).

Turut menyumbang emas adalah Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya (10m platform seirama lelaki), Muhammad Syafiq Puteh (3m papan anjal lelaki) dan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah (10m platform seirama wanita).

Skuad terjun juga meraih tiga pingat perak menerusi Kimberly Bong (1m papan anjal wanita), Ker Ying (3m papan anjal wanita) dan Gabriel Gilbert Daim (3m papan anjal lelaki) selain satu gangsa yang diperoleh Bertrand Rhodict (1m papan anjal lelaki).

Dalam satu lagi catatan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet badminton beregu wanita pekak negara, Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung atas kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Deaflympic ke-24, di Caxias do Sul, Brazil.

Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan pasangan beregu itu yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Dengan kemenangan bersejarah ini mereka menamatkan penantian 21 tahun negara kemarau pingat emas di Sukan Deaflympics setelah Zana Azizul Ujang mendapatkan pingat emas di Sukan Deaflympics Rom, Itali pada 2001," menurut catatan di Facebook Istana Negara.

Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang itu menjadi suntikan semangat kepada pasangan beregu itu dan atlet lain untuk terus bekerja keras bagi mencapai kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Wei Ying dan Zu Tung serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Pada perlawanan akhir, gandingan Wei Ying/ Foo Zu Tung muncul juara setelah mengalahkan beregu ranking nombor satu pekak dunia Jung-Yu Fan/Yan-Ru Shen dengan keputusan 21-17, 17-21, 21-15.

Turut mendapat ucapan tahniah daripada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah adalah gandingan pesilat negara Mohd Taqiyuddin Hamid serta Sazzlan Yuga berikutan kejayaan mereka merangkul pingat emas dalam acara seni ganda putra di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Seri Paduka menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan cemerlang tersebut yang sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Filipina pada 2019.

"Seri Paduka berdua berharap pencapaian cemerlang itu menjadi suntikan semangat kepada atlet lain untuk berusaha memberi prestasi terbaik dalam pemburuan pingat emas di temasya tersebut,” menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara.

Mohd Taqiyuddin dan Sazzlan Yuga mengutip 9.950 mata untuk mengatasi pencabar dari Singapura Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque yang mengutip 9.905 mata. - Bernama