X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Covid-19: Kadar jangkitan tinggi namun tiada peningkatan kes

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun kadar kebolehjangkitan (R-Naught) Covid-19 di negara ini meningkat namun tiada sebarang peningkatan kes mendadak dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kebolehjangkitan iaitu jumlah kes baharu Covid-19, jumlah kes pulih dan mengambil kira faktor komuniti yang belum dijangkiti Covid-19 serta komuniti yang telah menerima vaksinasi.

"Kita lihat (kadar kebolehjangkitan) meningkat tetapi kebanyakan kes adalah kategori satu dan dua sebagai mana kita jangkakan selepas Aidilfitri kes akan meningkat tetapi (hanya) kes bagi kedua-dua kategori ini.

"Kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih kurang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih ada kemampuan menerima pesakit, kita tidak nampak kes meningkat dengan mendadak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Evolusi Baju Seragam Jururawat di Muzium Negara di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM menjangkakan peningkatan kes baharu Covid-19 selepas pembukaan semula sempadan pada 1 April, namun liputan vaksinasi yang tinggi dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat Malaysia membantu pengawalan wabak itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan kes denggi mencatatkan penurunan pada dua tahun lepas kerana orang ramai mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam.

"Kalau kita mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam, kita bukan hanya mengawal Covid-19 tetapi kita mengawal penyakit berjangkit yang lain.

"Walaupun kita ada vaksin kita masih mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam, jadi dengan dua perkara itu dan ditambah dengan ubat antiviral (rawatan Covid-19) kita mungkin lebih baik lagi dapat membendung penularan Covid-19 dalam negara," katanya.

Selain berterima kasih atas sumbangan dan jasa jururawat di Malaysia, Dr Noor Hisham turut merakamkan penghargaan terhadap usaha Jabatan Muzium Malaysia mengadakan pameran sisipan baju seragam jururawat sebagai menghargai petugas barisan hadapan.

Pameran 10 hari sehingga 22 Mei yang berlangsung di Dewan Tengah, Muzium Negara itu mengisahkan pengenalan Hari Jururawat Sedunia, penerangan berkaitan tema sambutan tahun ini dan evolusi baju seragam jururawat di Malaysia dari awal tahun 1900 hingga kini.

Antara koleksi yang dipamerkan ialah baju seragam jururawat di seluruh negara, peralatan merawat pesakit dan foto-foto lama jururawat di sekolah latihan jururawat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!