Kertas siasatan remaja pandu MPV rempuh pekerja dirujuk TPR

Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung kejadian yang berlaku pada Sabtu.
Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung kejadian yang berlaku pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kertas siasatan membabitkan seorang remaja bawah umur memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga menyebabkan seorang maut, akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak TPR untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, bapa kepada remaja terbabit telahpun disaman pada hari kejadian kerana kesalahan membenarkan pemandu tanpa lesen memandu kenderaan itu.

"Isnin depan kita akan rujuk kertas siasatan ke TPR untuk arahan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sinar Harian, sebelum ini melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun merempuh dua pekerja mesin rumput sehingga seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu menyebabkan lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Cinglowpa, 20, meninggal dunia manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh MPV tersebut ketika sedang berehat dari melakukan kerja-kerja potong rumput, di kawasan itu.

Ujian air kencing yang dijalankan terhadap remaja berkenaan mendapati bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.