Kerajaan kenal pasti potensi pasaran baharu minyak sawit

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengenal pasti potensi pasaran baharu minyak sawit di negara-negara di rantau Afrika, Asia Tengah dan Asia Selatan dalam usaha memperkasa industri sawit Malaysia, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata, di benua Afrika, Mesir dan Maghribi yang merupakan pintu kepada pasaran negara-negara Eropah, Afrika Utara dan Afrika Tengah telah menunjukkan minat untuk mengimport minyak sawit Malaysia.

“Secara tidak langsung pasaran baharu seperti Tunisia dan Libya juga akan dapat ditembusi melalui Maghribi.

“Selain itu, kementerian juga melihat peluang yang besar di negara Benin yang mana pada tahun lepas sudah mengimport minyak sawit hampir 240,000 tan dari Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu apakah usaha kementerian untuk memperkasa industri sawit terutama daripada segi mencari pasaran baharu dan meluaskan industri hiliran dalam membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit.

Beliau berkata, Turki juga merupakan satu daripada pasaran berpotensi, dan hasil Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Turki, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit telah meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada 975,960 tan pada 2018 berbanding 922,690 tan pada 2017.

Teresa berkata, bagi rantau Asia Tengah, negara-negara seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan telah mula mengimport produk minyak sawit dari Malaysia, manakala di rantau Asia Selatan pula, Sri Lanka adalah pasaran baharu yang berpotensi untuk diterokai dan ditingkatkan terutamanya dalam industri minyak dan lemak serta industri makanan.

“Selain itu, kementerian akan mengadakan Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit di Jeddah, Arab Saudi pada 24 dan 25 April ini dalam usaha untuk melebarkan pasaran minyak sawit Malaysia ke Timur Tengah khususnya Arab Saudi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Teresa berkata, kerajaan turut mengambil langkah mempelbagaikan aplikasi minyak sawit dalam usaha memperkasakan industri hiliran dan antara usaha sedang dijalankan ialah meningkatkan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum melalui Program Biodiesel B10 yang dilaksanakan secara mandatori pada Febuari tahun ini bagi sektor pengangkutan, dan pelaksanaan B7 bagi sektor industri yang akan bermula pada 1 Julai.

“Selain membantu meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit, Program B10 juga menyumbang kepada pengurangan stok minyak sawit dan seterusnya memberi impak positif dan peningkatan harga minyak sawit di mana seawal Januari dan Februari tahun ini, harga purata bulanan minyak sawit meningkat kepada RM2,037 (Januari) satu tan dan RM2,122.65 pada Febuari, berbanding Disember tahun lepas iaitu RM1,794.50 satu tan".

Beliau berkata kerajaan juga telah menyediakan dana bagi projek-perojek hiliran berimpak tinggi untuk disalur kepada penggiat industri terutamanya perusahaan kecil dan sederhana bagi membangunkan sektor oleokimia dan bahan kimia berasaskan biologi serta menggalakkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan berasaskan sawit yang bernilai tambah tinggi. - Bernama