Nahas lima rentung: MB Terengganu rakam takziah

Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler pada jam 12.52 tengah malam itu menyebabkan lima individu iaitu pemandu dan penumpang sebuah kereta maut. Gambar kecil: Ahmad Samsuri
Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler pada jam 12.52 tengah malam itu menyebabkan lima individu iaitu pemandu dan penumpang sebuah kereta maut. Gambar kecil: Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah atas tragedi menimpa lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, tengah malam tadi.

Katanya, kejadian itu begitu mengejutkan dan beliau berharap agar kesemua waris mangsa kemalangan tabah dan cekal dengan ujian menimpa.

"Saya terkejut setelah menerima khabar duka mengenai insiden kemalangan melibatkan lima sahabat dimana salah seorang daripada mangsa merupakan rakyat Terengganu.

"Saya turut bersedih apabila menyaksikan sendiri video yang ditularkan di media sosial mengenai situasi semasa kejadian. Takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat," katanya menerusi hantaran di media sosial Facebooknya, pada Khamis.

Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler pada jam 12.52 tengah malam itu menyebabkan lima individu iaitu pemandu dan penumpang sebuah kereta maut.

Nahas tersebut dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah treler sebelum terbakar.

Seorang daripada mangsa nahas iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, berasal dari Chukai Terengganu.

Mangsa lain ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.