SPRM perlu kekal bebas: Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat Gudang Sita selepas merasmikan Kompleks SPRM Selangor. -Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu kekal menjadi badan yang bebas daripada sebarang pengaruh oleh mana-mana pihak termasuk orang-orang politik.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, SPRM seharusnya melaksanakan tugas dengan telus, berani dan tidak memihak kepada sesiapa atau dengan kata lain tanpa prejudis.

"Pegawai-pegawai penyiasat SPRM hendaklah diberi kebebasan dengan kuasa yang ada untuk menjalankan tugas penyiasatan secara profesional tanpa arahan-arahan tertentu yang boleh mengganggu penyiasatan.

"Dengan jalan ini, SPRM akan dilihat sebagai badan yang boleh dipercayai oleh rakyat bagi membanteras gejala rasuah dan sekali gus menepis tanggapan negatif rakyat terhadap SPRM berkaitan ketelusan di dalam menjalankan amanah," titah baginda semasa Majlis Perasmian Kompleks SPRM Selangor yang baharu hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tiba di Kompleks SPRM Selangor pada majlis perasmian Kompleks SPRM Selangor. -Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tiba di Kompleks SPRM Selangor pada majlis perasmian Kompleks SPRM Selangor. -Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Baginda bertitah, sering kali juga mendengar aduan dan sungutan orang ramai bahawa terdapat aduan-aduan rasuah yang dibuat tidak diketahui kesudahannya.

"Akhbar-akhbar banyak melaporkan tentang tangkapan dan tahanan reman yang dibuat terhadap mereka yang disyaki melakukan amalan rasuah namun kesudahannya sama ada mereka ini dituduh di mahkamah atau sebaliknya tidak diketahui.

"Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat adalah sama ada mereka yang dilapor melakukan rasuah ini adakah benar-benar telah disiasat dan diadili mengikut undang-undang," titahnya.

Baginda bertitah, SPRM seharusnya memberikan maklumat secukupnya kepada rakyat tentang tindakan penguatkuasaan yang dilakukannya.

"Hasil daripada siasatan yang dibuat juga perlulah sampai ke pengetahuan rakyat secara berkesan.

"Maklumat yang lengkap tentang hasil siasatan ini penting bagi mengelak dari persepsi, sesetengah pihak dibebaskan tanpa sebarang tindakan dan SPRM tunduk kepada pihak-pihak tertentu di dalam melaksanakan tugas mereka," titahnya.

Turut berkenan berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia