Nurul Izzah enggan jawab pertanyaan media

Nurul Izzah terus meluru menuju ke kereta selepas keluar dari Dewan Rakyat, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bertindak melarikan diri daripada media meskipun sedar dirinya kini menjadi tajuk utama berita susulan situasi politik negara mutakhir ini.

Pagi ini, Nurul Izzah hadir ke Dewan Rakyat untuk bertanyakan soalan mengenai data statistik pesakit obesiti dan diabetis serta jangkaan kesan cukai terhadap minuman manis kepada sektor ekonomi dan kesihatan dalam sesi soal lisan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kira-kira setengah jam selepas sesi itu, Nurul Izzah kelihatan keluar dari Dewan. Kelibatnya yang memang dinantikan wartawan terus diserbu, namun bekas Naib Presiden PKR itu hanya menjawab "tiada komen" sebelum melarikan diri daripada diwawancara pemberita.

“No comment (tiada komen),” katanya ringkas selepas diminta mengulas lanjut mengenai isu-isu berbangkit yang berkaitan dengannya, hari ini.

Pengamal media yang masih belum berpuas hati dengan jawapan Nurul Izzah terus mengejarnya hingga ke parkir kereta namun tidak mendapat apa-apa komen balas dari pemimpin PKR itu.

Terdahulu, nama Nurul Izzah menjadi perhatian apabila membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC), Sabtu lalu.

Sehari sebelum itu, Nurul Izzah yang dikenali sebagai Puteri Reformasi itu meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH yang gagal menunaikan janji menggerakkan agenda reformasi sebagaimana sepatutnya kepada akhbar Singapura, The Straits Times.

Beliau turut meluahkan isi hati bahawa beliau sukar bekerja dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai bekas diktator.