Sila log masuk terlebih dahulu.

AS, Malaysia meterai MOC kukuhkan rantaian bekalan semikonduktor

Gina M Raimondo (kiri) dan Mohamed Azmin memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) AS-Malaysia mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.
Gina M Raimondo (kiri) dan Mohamed Azmin memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) AS-Malaysia mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.
A
A
A

SETIAUSAHA Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Gina M Raimondo dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) AS-Malaysia mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.

MOC itu bertujuan menyediakan prinsip panduan kepada kedua-dua negara berikutan kerjasama masing-masing dalam memperkukuh usaha-usaha daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.

Ketika menandatangani MOC berkenaan, Raimondo dan Mohamed Azmin mengakui kerjasama AS-Malaysia merupakan elemen penting dalam mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang berdaya tahan, terjamin dan mampan.

"Berdasarkan lawatan Raimondo ke Malaysia pada November 2021, MOC tersebut akan memperteguh perkongsian yang semakin berkembang di antara kedua-dua kerajaan dan industri semikonduktor,” menurut kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama hari ini.

MOC tersebut turut berperanan meningkatkan ketelusan dan kepercayaan, selain menggalakkan pelaburan dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Sebagai menunjukkan komitmen mereka terhadap aktiviti yang digariskan dalam MOC berkenaan, kedua-dua pemimpin mengadakan persidangan meja bulat dengan pakar industri untuk membincangkan mengenai cabaran rantaian bekalan jangka panjang dan semasa, di samping peluang kepada kedua-dua negara dan ekonomi global.

Semasa mesyuarat itu, Raimondo dan Mohamed Azmin sekali lagi menegaskan kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan AS-Malaysia berikutan hubungan diplomatik selama 65 tahun dan membincangkan bidang yang boleh ditingkatkan kerjasama.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

Artikel Berkaitan:

Mereka antara lain membincangkan kepentingan untuk rangka kerja itu menjadi inklusif dan kaedah bagi IPEF untuk menyampaikan manfaat bermakna dari segi ekonomi, termasuk melalui bantuan teknikal dan pembinaan kapasiti.

Jabatan Perdagangan AS dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia bercadang mengadakan pertukaran dengan pihak berkepentingan di bawah MOC itu, pada masa akan datang. - Bernama