Berebut kereta di pagi raya, lelaki didakwa cederakan abang

Nabil (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, Khamis.
Nabil (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, Khamis.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Hanya kerana berebut kereta di pagi Hari Raya Aidilfitri yang lalu, seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan pisau pemotong ayam.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku selepas tertuduh dan mangsa berebut kereta pacuan empat roda jenis Toyata Hilux milik ibu mereka yang mahu digunakan untuk pergi beraya.

Tertuduh, Nabil Sarip, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nabil didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap abang kandungnya, Muhamad Farok Sarip, 38, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong ayam.

Kesalahan itu didakwa itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 10 pagi, di Taman Tanjung Minyak Jaya, di sini, pada 2 Mei lalu.

Kesalahan itu dibacakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon jaminan tidak diberikan kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang beralamat sama dengan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili Peguam Amritpal Singh merayu hukuman diringankan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu dan tidak berkomunikasi dengan mangsa selain menetapkan 7 Jun depan sebagai sebutan semula kes.