Syarikat luar negara minat beli kepentingan Malaysia Airlines

A
A

Syarikat luar negara minat beli kepentingan Malaysia Airlines

Beberapa syarikat luar negara, termasuk dari Eropah, Asia dan Asia Barat, berminat membeli kepentingan dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB), kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau berkata, mereka tidak semestinya mengambil alih keseluruhan syarikat tetapi mungkin hanya sebahagian kepentingan syarikat penerbangan nasional itu yang kini 100 peratus milik Khazanah Nasional Berhad.

Daim menjelaskan sektor penerbangan kini semakin rumit, memandangkan dana besar dan tenaga kepakaran amat penting.

Oleh itu, jika sebahagian kepentingan MAB dijual kepada firma luar, ia akan mendapat suntikan dana dan kepakaran, secara tidak langsung memulihkan syarikat.

Daim berkata, kerajaan tidak seharusnya mencampuri urusan operasi syarikat penerbangan nasional itu, sebaliknya cukup sekadar menyokong dengan membantu mendapatkan hak pendaratan di lokasi strategik.

MB Negeri Sembilan letak jawatan kelab golf selepas larangan jual arak ditolak

Aminuddin Harun meletak jawatan presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) selepas mesyuarat agung luar biasa kelab itu menolak larangan menjual arak yang dicadangkannya.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata surat peletakan jawatan akan ditulis dalam masa terdekat bagi menghormati keputusan mesyuarat itu.

Semalam, seramai 135 ahli berbayar SIGC menolak larangan penjualan arak yang diputuskan jawatankuasa pengurusan kelab pada satu mesyuarat 20 Ogos tahun lalu.

Aminuddin tidak menghadiri EGM kelab milik kerajaan negeri itu. Mesyuarat semalam dipengerusikan Naib Presiden Razali Ab Malik, yang juga setiausaha kerajaan negeri.

Edar arak percuma: Melaka ambil tindakan undang-undang

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur kegiatan mengedar minuman keras secara percuma di kawasan Jonker Walk.

Datuk Bandar MBMB Mansor Sudin berkata kegiatan yang berlangsung pada hujung minggu lalu dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, berdasarkan siasatan, makluman kegiatan tersebut berlaku di hadapan Tamil Methodist Church, Jalan Kubu, Melaka dan seterusnya kegiatan tersebut berterusan ke bangunan Gan Boon Leong, Jalan Kubu, Melaka.

Katanya, kegiatan minum arak secara percuma itu diadakan sempena program promosi “Taster Carlsberg” di hadapan Tamil Methodist Church, Jalan Kubu yang tidak mendapat sebarang kebenaran dari MBMB serta Pejabat Daerah Melaka Tengah.

Keluarga tak ketuai jentera Tok Mat

Gerak kerja UMNO bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau akan dikendalikan oleh jentera dari ibu pejabat parti itu dengan dibantu oleh jentera di peringkat tempatan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tuduhan yang mengatakan jentera berkenaan di setiap peringkat hanya diketuai oleh adik-beradik, anak dan anak buah kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah tidak benar.

Katanya, beliau sendiri adalah Pengarah Operasi PRK tersebut yang dibantu antaranya oleh dua Pengarah Naziran masing-masing ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, tohmahan itu sengaja disebarkan dengan harapan ia akan menyebabkan kekalahan Mohamad dalam PRK pada 13 April ini.

Kim Swee yakin skuad negara boleh beri kejutan pada China

Ketua jurulatih skuad Bawah 23 negara, Ong Kim Swee percaya anak buahnya berpotensi untuk memberi kejutan ketika bertemu China pada perlawanan akhir Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, hari ini.

Katanya adalah tidak mustahil bagi Malaysia yang mengintai peluang layak secara automatik ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan untuk mencipta kemenangan menerusi strategi permainan yang baik.

Menurutnya China yang dikendalikan bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea, Guus Hiddink, menampilkan keazaman tinggi dalam dua perlawanan sebelum ini yang dibuktikan menerusi pesta gol mereka termasuk lapan yang diledakkan dalam pertemuan dengan Filipina kelmarin.

Kemenangan kedua selepas menundukkan Filipina 3-0 pada Jumaat lepas menyaksikan anak buah Kim Swee mengutip enam mata untuk berada di tempat kedua di belakang China dengan perbezaan sembilan gol.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia