HFMD di Kelantan meningkat 553 peratus

Keadaan tangan kanak-kanak yang diserang penyakit HFMD. - Gambar hiasan
Keadaan tangan kanak-kanak yang diserang penyakit HFMD. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan meningkat sebanyak 553 peratus tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga minggu epid 18 tahun ini sebanyak 1,548 kes HFMD dilaporkan berbanding untuk tempoh sama tahun lalu hanya hanya 237 kes.

“Dari segi penularan, sebanyak 18 wabak HFMD dilaporkan sehingga minggu epid 18 pada tahun ini berbanding hanya satu wabak sahaja dicatatkan tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, sebahagian wabak yang dilaporkan itu melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Beliau berkata, majoriti kes HFMD yang dilaporkan tahun ini membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun iaitu sebanyak 75.8 peratus.

Tambah beliau, secara keseluruhan 87.9 peratus dari kes yang dilaporkan adalah berumur enam tahun dan kebawah.

"JPNK menasihatkan orang ramai terutama yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan kebersihan sentiasa diutamakan dengan amalan mencuci tangan dengan sabun serta air bersih, elak berkongsi barangan peribadi, elak kawasan awam yang ramai dan kuarantinkan anak jika bergejala,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis perniagaan juga dinasihatkan kerap melakukan sanitasi terutama permukaan dan barangan yang kerap disentuh seperti troli, tombol pintu dan alat permainan.

Beliau berkata, jika terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berhampiran.