Kes HFMD di Kedah meningkat tahun ini berbanding 2019

Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Mohd Hayati)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Mohd Hayati)
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mencatatkan sebanyak 1,016 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 46.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, trend peningkatan kes HFMD di negeri Kedah pada tahun 2022 amat ketara bermula pada Minggu Epidemiologi ke-13 dan telah melebihi paras ambang epidemik.

Menurutnya, pada Minggu Epidemiologi ke-18 iaitu 1 hingga 7 Mei lalu, sebanyak 102 kes HFMD dilaporkan dalam tempoh tersebut.

"Bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda dengan 29 kes, diikuti Kota Setar (22 kes) dan Padang Terap (17 kes).

"Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, virus tersebut merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Menurutnya, majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan seperti demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh ke 10 hari.

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis (jangkitan otak), pneumonitis (jangkitan paruparu) dan myocarditis (jangkitan otot jantung)," ujarnya.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko dijangkiti.

"Ibu bapa dinasihati membawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan terutama demam dan ruam di tangan, kaki dan mulut.

"Ibu bapa juga digalakkan tidak membawa anak-anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas. Elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah," katanya lagi.