3,321 kes baharu Covid-19, lapan kematian

Kes harian yang dilaporkan itu, 3,311 adalah kes tempatan, manakala 10 lagi adalah kes import. - Foto 123rf
Kes harian yang dilaporkan itu, 3,311 adalah kes tempatan, manakala 10 lagi adalah kes import. - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Kes baharu Covid-19 kembali melonjak naik apabila mencatatkan sebanyak 3,321 kes pada Rabu berbanding Selasa, 2,605 kes menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di seluruh negara sebanyak 4,467,061 kes.

Daripada jumlah kes harian yang dilaporkan itu, 3,311 adalah kes tempatan, manakala 10 lagi adalah kes import.

Berdasarkan portal CovidNow juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan sebanyak lapan kes kematian dilaporkan pada Rabu, dengan tiga daripadanya membabitkan kematian di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini seramai 35,598 orang daripada lebih empat juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Selain itu, sejumlah 24,850 kes aktif Covid-19 direkodkan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, seramai 23,385 atau 94.1 peratus individu dikuarantin di rumah, manakala 33 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 1,373 dimasukkan ke hospital.

Data itu juga menunjukkan sejumlah 59 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 kes memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 25 kes lagi memerlukan mesin ventilator.

Sejumlah 1,416 kes sembuh turut direkodkan pada Rabu, dengan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,406,613 kes.