Tiga hari lagi peluang suntik vaksin percuma

Berbaki tiga hari lagi buat ibu bapa mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak-anak ­mene­rusi Program Imunisasi Covid-19 ­Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara percuma.(Gambar hiasan) - Foto 123RF
Berbaki tiga hari lagi buat ibu bapa mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak-anak ­mene­rusi Program Imunisasi Covid-19 ­Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara percuma.(Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

BERBAKI tiga hari lagi buat ibu bapa mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak-anak menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) secara percuma.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini mengumumkan, selepas 15 Mei iaitu pada Ahad ini, suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dikenakan bayaran dan jenis diberikan ialah Sinovac.

Berdasarkan data menerusi laman web covidnow.moh.gov.my sehingga Rabu, jumlah kanak-kanak yang sudah divaksin di seluruh negara ialah sekitar 44 peratus melibatkan sekurang-kurangnya satu dos, manakala 27 peratus bagi dua dos.

Jumlah itu bersamaan lebih 1.5 juta kanak-kanak di Malaysia yang telah menerima vaksin setakat ini di mana lebih 800,000 daripadanya sudah lengkap menerima dua dos suntikan.

Jika dihitung, jumlah itu masih kecil berbanding bilangan keseluruhan empat juta kanak-kanak yang layak menerima vaksin di seluruh negara.

Angka turut menunjukkan penerima vaksin kanak-kanak paling rendah ialah di Kelantan dengan 14 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos dan tujuh peratus menerima dua dos, manakala kanak-kanak paling ramai menerima vaksin ialah di Sarawak sebanyak 83 peratus bagi yang menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 58 peratus bagi dua dos.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow melahirkan kebimbangan terhadap sambutan PICKids apabila hanya 49.5 peratus kanak-kanak di negeri itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan dan 38 peratus bagi dua dos sehingga 8 Mei lalu.

Beliau sehubungan itu menggesa agar ibu bapa mengambil peluang mendapatkan vaksin untuk anak-anak sementara kosnya masih di bawah tanggungan kerajaan.

Di negeri jelapang padi yang penulis menetap ketika ini, jumlah kanak-kanak sudah divaksin juga masih rendah.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo memberitahu, hanya 29 peratus kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 19 peratus lengkap dua dos sehingga 8 Mei lalu.

Tidak dinafikan, sebagai ibu bapa, sudah tentu bimbang apabila kanak-kanak seawal usia lima tahun dicucuk vaksin Covid-19.

Disebabkan mendengar pelbagai berita tular daripada sumber tidak sahih tentang kesan suntikan, ada antara ibu bapa masih ragu-ragu untuk memberikan vaksin kepada anak-anak.

Penulis sendiri gementar membawa dua anak berusia tujuh dan 12 tahun ke PPV bagi mendapatkan vaksin kali pertama, Februari lalu.

Mengimbau kembali, anak sulung penulis kelihatan 'gabra' ketika pemeriksaan saringan Covid-19 semasa perumahan kami di Amanjaya, Sungai Petani diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Satu dewan dengar jeritan akibat rasa takut dengan ujian calitan tekak dan hidung ketika itu.

Lain pula adiknya yang kelihatan bersahaja, hanya mengambil masa beberapa minit sudah selesai ujian calitan, diakhiri senyum mekar di bibir.

Tapi, pengalaman hampir 10 kali menjalani ujian calitan dan kerap melalui tempoh kuarantin akibat kontak rapat membuatkan anak-anak sudah membiasakan diri bagaimana untuk berdepan situasi Covid-19.

Alhamdulillah, anak sulung penulis mula belajar melalui adiknya bagaimana berhadapan situasi cemas sehingga membuatkannya lebih tenang sepanjang tempoh menunggu divaksin.

Lega. Itulah yang boleh digambarkan oleh seorang ibu apabila kedua-dua anak penulis hanya mengalami simptom ringan lenguh di bahu dan hilang beberapa hari selepas suntikan.

Kedua-duanya kini telah lengkap menerima vaksin.

Bagi penulis, ini adalah ikhtiar kecil kami bagi berdepan virus jahat selain persediaan melalui fasa endemik agar kehidupan kita mampu berjalan seperti biasa selepas ini.

Buat ibu bapa di luar sana, masih belum terlambat untuk meluangkan sedikit masa dalam tempoh berbaki tiga hari ini.

Beri peluang anak anda mendapatkan vaksin, menguatkan imuniti badan dan mematuhi saranan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar kita sama-sama kembali membentuk keluarga sihat dan sejahtera.

* Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian