X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tidak salah ibu bapa latih anak kuasai bahasa asing

Ibu bapa diharap dapat terus mendidik anak membiasakan diri menguasai bahasa asing namun dalam masa sama tidak mengabaikan bahasa kebangsaan.(Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A

BARU-BARU ini, terdapat hantaran di media sosial memperlekehkan usaha ibu bapa yang cuba menerapkan bahasa Inggeris kepada anak-anak.

Hantaran tersebut merujuk kepada ahli keluarga yang bercakap dengan anak-anak menggunakan bahasa Inggeris ketika pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri lalu.

Pada awalnya, hantaran tersebut dianggap satu gurauan oleh pengguna media sosial, tetapi perbincangan orang ramai di ruangan komen kemudiannya menjadi serius.

Ada yang meluat dengan tindakan ibu bapa tersebut, tetapi ada yang berpendapat tidak salah menggunakan bahasa Inggeris jika itu amalan di rumah masing-masing.

Bagi Merak Jalanan, tindakan ibu bapa itu tidak wajar dipandang rendah atau dikritik kerana anak-anak mereka mungkin dibesarkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Sudah pasti mereka bercakap bahasa yang selesa dan sudah biasa digunakan di rumah.

Mana mungkin mereka faham loghat utara atau Kelantan ketika berada di kampung.

Tindakan mengkritik itu umpama menghalang minat anak-anak untuk menguasai bahasa Inggeris dan membuat mereka tidak yakin kepada diri sendiri.

Bagi Merak Jalanan, sikap sebegitu perlu dibuang jauh-jauh.

Sepatutnya jika pandai berbahasa Inggeris, kita yang tidak pandai ini belajar daripada mereka.

Sudah masuk tahun 2022, umum mengetahui kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu di negara ini tetapi adakah satu kesalahan jika bahasa-bahasa lain turut dikuasai?

Bukan saja bahasa Inggeris, malah bahasa Mandarin, Tamil atau Perancis, bukankah satu kelebihan kepada mana-mana individu terutama dalam bidang pekerjaan nanti.

Bagi ibu bapa di luar sana, Merak Jalanan berharap pandangan negatif memperlekehkan usaha mereka ini tidak perlu diambil pusing.

Teruskan mendidik anak membiasakan diri menguasai bahasa asing.

Namun dalam masa sama, jangan pula diabaikan bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!