Jalan menuju ke Atlantis ditemui?

Sebatang jalan yang diperbuat daripada batu-bata ditemui di dasar Lautan Pasifik di Hawaii pada bulan lalu. - Foto Youtube/EVNautilus
Sebatang jalan yang diperbuat daripada batu-bata ditemui di dasar Lautan Pasifik di Hawaii pada bulan lalu. - Foto Youtube/EVNautilus
A
A
A

HONOLULU - Sekumpulan penyelidik menemui satu struktur ganjil yang kelihatan seperti sebatang jalan diperbuat daripada batu-bata dan berwarna kuning di dasar Lautan Pasifik pada April lalu.

Pada 29 April lepas, sekumpulan kru kapal Nautilus mengesan pembentukan batu itu menerusi sebuah kenderaan yang dikendalikan dari jauh untuk mengkaji Terumbu Karang Lili'uokalani Ridge Seamounts di Hawaii.

Para penyelidik menemui struktur tersebut yang terletak lebih 1,000 meter di dasar lautan itu.

Ekspedisi penerokaan itu kemudian disiarkan di laman perkongsian video, YouTube.

Dalam rakaman itu kedengaran seorang saintis berkata, ia mungkin jalan untuk menuju ke Atlantis.

Atlantis ialah sebuah bandar yang hilang dan dipercayai musnah di dalam lautan berhampiran Selat Gibraltar di Mediterranean, menurut tulisan Plato.

Plato merupakan seorang ahli falsafah Greek dan beliau menulis tentang bandar tersebut kira-kira pada tahun 360 sebelum Masihi.

Walau bagaimanapun, pakar-pakar kini mempunyai penjelasan logik kerana mereka mengatakan ia adalah contoh geografi gunung berapi aktif purba.

Ini kerana struktur itu ditemui di kawasan gunung berapi dalam laut. - Agensi