Bayar RM11.2j untuk projek tiga lebuh raya: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kerajaan negeri telah membuat bayaran RM11.2 juta kepada HSSI Sdn Bhd selaku jurutera pemeriksa bebas, bagi projek tiga lebuh raya utama di negeri itu.

Beliau berkata, pembayaran tersebut adalah untuk kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi tiga lebuh raya utama merangkumi Jalan Berkembar Pesisir Utara sepanjang dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas Air Itam-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

"Sehingga kini, kerajaan negeri masih belum membuat sebarang pembayaran untuk projek terowong dasar laut,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah terhadap bekas Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow.

Guan Eng yang juga saksi tunggal plaintif berkata, RM11.2 juta ini kemudiannya akan dituntut semula daripada kontraktor sebagai pembayaran balik.

"Bayaran itu hanya untuk projek tiga lebuhraya utama kerana projek terowong dasar laut tiada keperluan untuk disiapkan dalam masa yang singkat," katanya yang kini menjadi Menteri Kewangan.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop.

Guan Eng diwakili oleh peguam Simon Murali manakala Chang Yeow diwakili peguam Kek Boon Wei.

Sementara itu, Guan Eng turut menafikan membuat provokasi terhadap Chang Yeow berhubung pelaksanaan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya utama.

Artikel Berkaitan:

Boon Wei telah mempersoalkan kenapa Lim ketika itu sebagai Ketua Menteri tidak menjelaskan isu berkenaan sebaliknya mengambil tindakan saman, Lim menjawab beliau memilih untuk kedua-duanya sekali.

Pada 13 Mac 2018, Guan Eng telah mengemukakan saman ke atas Chang Yeow sebagai defendan kes.

Dalam tuntutannya, Guan Eng mendakwa Chang Yeow membenarkan dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di dua akhbar atau di laman web.

Perbicaraan disambung 6 Mei ini. - Bernama