X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu segala PRK bukti PH takut

Tajuddin (depan, dua kiri) dan Ab Ghani (depan, dua kanan) semasa Majlis Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan dan Pergerakan Sayap-Sayap Cawangan UMNO Bahagian Pasir Mas.
A
A

PASIR MAS - Kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyifatkan PRK DUN Rantau 13 April ini sebagai 'ibu' kepada semua PRK memberi isyarat PH mulai takut berdepan penyatuan ummah antara UMNO dan PAS.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, PH dilihat mulai tergugat apabila semakan mendapati gabungan undi UMNO dan PAS yang diperoleh pada PRU14 lalu lebih tinggi daripada apa diperoleh mereka.

"Bukan sedikit tetapi banyak, sebab itulah barangkali mereka sudah mulai takut dengan penyatuan ummah ini," katanya selepas diminta mengulas kenyataan Anthony yang menyifatkan PRK Rantau sebagai 'ibu' kepada segala PRK.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Rantau ibu segala PRK

Terdahulu, Tajuddin merasmikan Majlis Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan dan Pergerakan Sayap-Sayap Cawangan UMNO Bahagian Pasir Mas.

Turut hadir Setiausaha UMNO Kelantan, Datuk Mohammed Nordin Awang, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Ab Ghani Harun dan pimpinan setempat.

Menurutnya, UMNO menganggap Rantau sama seperti PRK yang pernah berlangsung sebelum ini.

Katanya, UMNO akan terus bekerjasama dengan Pas bagi memastikan kemenangan terus kekal menjadi milik parti itu.

Tajuddin berkata, penyatuan ummah itu tidak hanya merujuk kepada Melayu semata-mata.

Katanya, ia merujuk kepada penyatuan semua kaum yang ada di negara ini.

"Rakyat tidak perlu takut kepada penyatuan ummah ini dan saya yakin mereka sudah boleh menilai apa yang telah berlaku ketika ini," katanya.

Tajuddin berkata, pihaknya akan pastikan PRU15 nanti wujud pertembungan satu lawan satu antara gabungan BN dan Pas melawan PH.

Katanya, gabungan satu lawan satu itu dilihat mampu menumbangkan PH pada PRK15 nanti.

"Kita akan terus bekerja keras bagi memastikan gabungan BN dan PAS kembali menerajui negara," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!