Dipenjara 11 tahun lakukan amang seksual, miliki senjata berbahaya

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur dihukum penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan dan memiliki senjata berbahaya.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Edry Shah Rimiey Ghani, 34, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan enam tahun bagi dua pertuduhan amang seksual dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap manakala bagi pertuduhan memiliki senjata, Edry Shah dikenakan penjara lima tahun.

Bagi dua pertuduhan amang seksual, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 15 tahun di bawah rumpunan buluh berhampiran Sungai Gertak Runtuh dekat Gertak Kangkung di Kuala Krai, pada 3 petang 21 Mac lepas dan di sebuah rumah di Batu Mengkebang 3, Kuala Krai, pada 10 pagi, 20 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Edry Shah juga didakwa memiliki sebilah pisau besi pendek berhulu kayu, satu besi berwarna keemasan berlubang lima iaitu buku lima tanpa maksud yang sah di sebuah kedai serbaneka di dalam Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, pada 5 petang 29 April lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menjaga keluarga serta telah insaf atas perbuatannya. - Bernama