Dana RM4 bilion untuk tembok sempadan AS-Mexico

Pemangku Ketua Pentagon Patrick Shanahan (kanan) mengumumkan dana berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) untuk pembinaan sebahagian tembok AS-Mexico.- Foto vox.com
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT.Pemangku Ketua Pentagon Patrick Shanahan mengumumkan dana berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) untuk pembinaan sebahagian tembok di sepanjang sempadan Amerika Syarikat (AS) - Mexico seperti yang dihajati Presiden Donald Trump.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dilapor meminta Pentagon membina pagar setinggi 5.5-meter sepanjang 12 kilometer, selain membina dan membaiki jalan raya serta memasang lampu di kawasan sempadan terbabit.

Menurut kenyataan Pentagon, Shanahan membenarkan Komander Kor Kejuruteraan Tentera AS untuk merancang dan melaksanakan sokongan dalam bentuk dana tersebut kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Pengawal Kastam dan Sempadan.

Terdahulu, pentadbiran Trump menutup sebahagian kerajaan selepas Kongres enggan meluluskan rang undang-undang perbelanjaan persekutuan bertujuan untuk membina tembok sempadan AS-Mexico.

Penutupan tersebut berlarutan selama lebih empat minggu dan memberi kesan kepada 800,000 kakitangan persekutuan. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia