Kematian doktor pelatih: Polis rekod keterangan keluarga, kekasih

MSOSH sebelum ini menggesa laporan siasatan kes kematian seorang doktor pelatih yang didakwa dibuli semasa bertugas di Hospital Pulau Pinang pada 17 April lalu dikongsikan secara terbuka.
MSOSH sebelum ini menggesa laporan siasatan kes kematian seorang doktor pelatih yang didakwa dibuli semasa bertugas di Hospital Pulau Pinang pada 17 April lalu dikongsikan secara terbuka.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis merekodkan keterangan ahli keluarga dan kekasih doktor pelatih yang ditemui mati selepas terjatuh di kediamannya di Datuk Keramat, di sini pada 17 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, keterangan bapa dan abang mangsa telah direkodkan di balai polis di sini tengah hari Rabu manakala keterangan kekasih mangsa dirakam di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kita minta mereka datang semula hari ini (Rabu) untuk selesaikan siasatan.

Kita ambil keterangan mereka kira-kira dua jam, petang tadi.

“Manakala keterangan kekasihnya akan dirakam di Nilai kerana dia tinggal di sana,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Saravanan berkata, buat masa ini polis masih belum menerima hasil laporan bedah siasat mangsa.

Pada Rabu, Exco Kesihatan negeri Dr Norlela Arifin berkata beliau telah menyerahkan nama individu yang didakwa terlibat dalam kejadian buli seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang kepada Menteri Kesihatan.

Doktor pelatih yang namanya dirahsiakan atas permintaan ibu bapanya, dihantar ke hospital hanya tiga minggu sebelum kematian mengejut itu dilaporkan.

Difahamkan, ia kematian kedua melibatkan doktor muda dalam tempoh dua tahun.

Pada Disember 2020, seorang doktor yang telah meletak jawatan dari hospital yang sama dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba.

Susulan insiden itu, terdapat bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai agar Kementerian Kesihatan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat dakwaan itu.