'Indonesia miliki aura pertahan kejuaraan di Bangkok 2022'

ANTHONY GINTING
ANTHONY GINTING
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting optimis pasukannya mampu mempertahankan Piala Thomas dimenangi di Aarhus, Denmark tahun lalu di Bangkok kali ini.

Anthony berkata, beliau dan rakan sepasukannya bersemangat tinggi mencuba sehabis baik bagi mengakhiri saingan di Impact Arena itu dengan satu lagi noktah kejayaan menerusi kejuaraan kali ke-15 dalam kejohanan badminton berpasukan paling berprestij di dunia itu.

“Saya yakin Indonesia boleh juara lagi, namun kami harus cuba langkah demi langkah dalam setiap perlawanan dahulu di sini,” katanya.

Biarpun tanpa kehadiran seorang daripada ‘The Minion’, Marcus Fernaldi Gideon yang merupakan tonggak kejayaan pasukannya ketika mencatat kejuaraan ke-14 di Aarhus sewaktu berpasangan dengan Kevin Sanjaya Sukamuljo, Anthony percaya ia sama sekali tidak melemahkan pasukannya dalam saingan di Thailand.

Marcus terpaksa melupakan saingan Piala Thomas apabila masih menjalani proses pemulihan susulan kecederaan dialami baru-baru ini.

Jelas Anthony, kelibat juara Seluruh England 2022 Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam barisan akhir boleh menguatkan cabaran skuad Indonesia kali ini.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mengakui persembahannya merudum sejak akhir-akhir ini termasuk tewas dua kali berturut-turut kepada juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura 13-21, 14-21 serta wakil tuan rumah Kunlavut Vitidsarn, 12-21, 21-15, 9-21 dalam aksi Kumpulan A.

Walaupun Anthony tumpas dalam kedua-dua aksi itu, Indonesia berjaya mengatasi Singapura dan Thailand dengan keputusan sama iaitu 4-1.

“Memang prestasi agak menurun namun saya akan berusaha untuk kembali bangkit selepas ini,” katanya. - Bernama