Misi dagangan: Azmin jumpa pegawai kanan firma Indium Corp, Lovesac

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan firma Amerika Syarikat (AS), Lovesac dan Indium Corporation yang menjadi sebahagian daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan kementerian ke negara itu yang bermula pada 8 Mei lepas.

Lovesac merupakan sebuah syarikat perabot sofa manakala Indium Corporation adalah syarikat global AS dengan kepakaran dalam pembuatan serta rekabentuk pes pateri dan bahan terma haba elektronik bagi penggunaan dalam cip elektrikal dan elektronik.

Mohamed Azmin berkata, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lovesac Shawn Nelson telah menyuarakan rasa penghargaan kepada pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kerana membantu menemukan pembekal bingkai upholsteri kayu yang tepat dari Perak.

"Usaha yang proaktif itu telah membuahkan hasil yang baik untuk Lovesac serta industri perabot tempatan di Malaysia.

"Lovesac yang menyasarkan untuk melonjakkan nilai penyumberan daripada US$20 juta kepada lebih AS$50 juta, turut komited bukan sahaja bagi mendapatkan bingkai kayu tetapi juga produk elektronik untuk perabot mereka seperti hab tenaga dari sebuah syarikat di Pulau Pinang,” kata Mohamed Azmin dalam ciapan terbaharunya di akaun Twitter beliau.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata Indium Corporation pula telah memberi komitmen untuk membuka kilang pembuatan baharu bagi pes pateri serta mempertimbang bagi mewujudkan pusat latihan serta makmal inovasi penyelidikan dan pembangunan di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Indium Ross Berntson juga menyifatkan legasi kewujudan Indium yang menjalankan perniagaan lebih 40 tahun di Malaysia, juga berasaskan ekosistem rantaian bekalan negara ini yang kukuh bagi industri elektronik.

"Ini satu pencapaian besar memandangkan pengembangan Indium merupakan satu peningkatan dalam rantaian nilai. Ia juga jelas membuktikan aspirasi kita untuk menjadi sebuah ekonomi yang dipacu oleh inovasi dan akan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan bagi rantau ini,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata, keputusan untuk memilih Malaysia sebagai destinasi kemudahan pembuatan terbaharu Indium di Pulau Pinang juga dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan syarikat dalam mengurusan rantaian bekalan terbabit. - Bernama